17 Februari 2009

Masalah Haidh dan cairan

Penulisan saya kali ini mungkin akan disalah-ertikan oleh sesetengah pihak. Mungkin ada yang berkata penulisan ini agak taboo. Tapi saya rasa kena perjelaskan juga untuk kebaikan jemaah wanita. Bagi kaum lelaki saya rasa kurang manis baca tajuk ni. Tapi kalau nak tahu juga untuk memperingatkan anak dara kita atau isteri, tak salah kalau nak baca kot.

Permasalah fekah yang paling utama mengganggu jemaah wanita ialah permasalahan haidh. Ramai orang akan tanya “You inject untuk halang period tak?” Sebenarnya haidh ni tak perlu dihalang. Perkara yang tak boleh dilakukan untuk kerja haji dan umrah semasa haidh hanyalah tawaf, sebab tawaf tu syaratnya mesti bersih dari hadas besar dan hadas kecil. Maknanya untuk menunaikan tawaf kita mestilah berwudhu.

Bila kita didatangi haidh kita masih boleh wuquf di Padang Arafah, boleh berzikir, berdoa di hari Arafah, berdoa di Muzdalifah dan Mina, masih boleh melontar jamrah, boleh bersaie.

Ada orang yang mengamalkan masukkan air dalam botol dan baca doa tertentu agar haidh terhalang semasa di tanah suci kemudian botol tu ditinggalkan di Malaysia. Bila saya ceritakan kepada dua pupu saya, Ust Sapawi, bukan main marah lagi dia. Katanya kenapa nak halang perkara tabi’i yang Allah dah kurniakan? Haidh tu kan benda natural yang Allah anugerahkan kepada wanita. Kalau dihalang, takut lain pulak kesannya nanti pada tubuh kita. Saya ni memang selalu kena marah ngan Ustaz, tapi tak apalah, kita anggap marah adik-beradik, untuk kebaikan kita juga. Kalau tak kena marah, kita leka dan banyak buat silap.

Semasa dalam haidh kita masih boleh berzikir, boleh tolong orang, boleh bersedekah. Zikir tu nampak macam lekeh je, tapi kalau kita berzikir dengan sepenuh hati kita, kita dapat mendekatkan diri kita dengan Allah. Bercinta dengan Allah itu mendamaikan, cubalah!

Masalahnya ialah period kita selalunya berekor. Hari ni dah mandi, esok ada lagi. Kata ustazah, kalau nampak macam dah bersih, tunggu lagi 2 jam baru mandi. Kemudian bolehlah kita solat, tapi jangan tawaf dulu. Ustazah kata tunggu 24 jam. Kalau dalamasa 24 jam dah tak ada apa-apa bolehlah kita tawaf. Kalau dah lepas tawaf tengok ada lagi, tu dah dikira penyakit. Tapi awas! Pastikan bahawa yang keluar tu bukan semasa tawaf. Kalau keluar katakan masa di pusingan ke-4, kita kena ulang balik pusingan ke-4, ke-5, ke-6 dan ke-7.

Katakan kita tak nak tunggu 24 jam, kita nak pergi tawaf juga sebab kita dah janji dengan kawan nak tawaf sama-sama. Kalau dalamasa 24 jam dari masa kita mandi tu, tak ada keluar apa2, Alhamdulillah selamatlah. Tapi kalau masih keluar haidh, kenalah ulang balik tawaf berkenaan. Kalau dah buat saie lagi naya. Jadi, kalau periodnya belum habis betul, jangan buat saie dulu. Buat tawaf, balik bilik, periksa dulu. Tunggu 24 jam, kalau tak ada apa2, bolehlah saie pula.

Banyak betul pahala Ustazah Ummi, Ustazah Yaminah dan Ustazah Yusna yang telah mencurahkan ilmu kat saya, dapatlah pula saya curahkan ilmu di blog ni.

Setiap wanita akan sentiasa keluar cairan dari bunga kekwanya. Paling kerap ialah setiap 2 jam. Jadi kenalah sentiasa perhatikan samada ada kotoran atau tidak. Bila keluar cairan, maka batallah wudhu kita. Cairan ni kena perhatikan juga agar dia tak melekat di spender kita. Kalau melekat di spender dan kita pakai untuk solat, najis tu, takut tak sah solat kita.

Cairan ni kadang2 tak nampak pun, tapi bila kita cium ada baunya. Sebaik2nya pada setiap masa kita pakai panty-liner. Panty-liner ni menyelamatkan saya bila kami terkandas penerbangan tempohari. Masa tu beg semua dah masuk ke bonet kapal. Kami cuma ada handbag je. Alhamdulillah dalam tu ada bekalan panty-liner.

Kalau kita nak ke masjid dan berhajat untuk iktikaf lama di masjid atau kalau kita nak tawaf yang mungkin memakan masa 1 jam kemudian sambung tunggu waktu solat pula, kalau kita bimbang najis akan keluar, maka kita hendaklah sumbat sikit bunga kekwa kita tu dengan kapas kemudian pakailah panty-liner. Kapas tu kita belilah kapas pembersih muka tu. Sekeping boleh belah dua. Sumbat sikit je asal melekat, tertutup dan tiada cairan yg boleh keluar. Pakai macam ni pada mulanya memang tak selesa. Tapi lama-lama kita nak ibadatpun rasa selesa dan tak was-was, sebab cairan berkenaan akan terhalang dari keluar.

Pada waktu haji, bagi muslimat yang jangka haidhnya akan tiba tak lama lagi, cepat-cepatlah pergi tawaf bila masuk waktunya. Bila masuk waktu tawaf haji? Rujuklah dalam jadual yang saya letakkan dalam blog ni, bawah label Pre-Haji.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih puan.. saya suka sangat topik ni.. memang tercari-cari bagaimana caranya yang mudah untuk beribadah di tanah suci tanpa perlu was-was cairan yang keluar..