13 Januari 2009

Tawaf

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, 60 rahmat diturunkan untuk orang yang tawaf. Kami digalakkan melakukan tawaf sunat sebanyak mungkin. Dalam Masjidil Haram ni tiada solat Tahiyyatul Masjid, maka tawaf sunat adalah penggantinya.

Semasa saya tawaf umrah wajib, saya dapat habiskan tawaf dalamasa 25 minit, Alhamdulillah. Saya bertawaf dengan mak yang bertawaf umrah sunat. Masa tu lebih kurang jam 2:30 ptg. Panas? Entahlah... tak terasa pulak. Tapi lepas solat sunat tawaf saya 'kehilangan' mak saya. Lepas asar saya sa'ie. Malamnya saya pergi ke Tanaim untuk niat umrah sebab esoknya saya nak temankan mak untuk bersa'ie sebab petang tu dia belum sa'ie. Dan malamnya saya tawaf sekali lagi. Seronok rasanya tawaf.

Tawaf saya yang pertama tu, kami dekat sangat dengan kaabah, tapi saya cuba elakkan dari terlalu dekat sebab takut tersentuh kaabah atau Hijir Ismail. Kalau tersentuh kaabah atau Hijir Ismail, maka terbatallah pusingan berkenaan. Hijir Ismail merupakan sebahagian dari Kaabah. Tapi oleh kerana terlampau dekat, sebanyak 3 pusingan kami masuk di kawasan antara Multazam dan Maqam Ibrahim. Kawasan situ memang pack. Kami letih kena kepit bukan sebab letih bertawaf. Jadi pada pusingan ke-4 saya beritahu mak supaya lalu belakang Maqam Ibrahim. Multazam adalah kawasan antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah.

Tawaf saya yang pertama ni, oleh kerana cepat sangat, doa yang disarankan dibaca untuk setiap pusiangan tu tak pernah habis. Masa pusingan ketiga saya terperasan saya tersepak sesuatu selepas Maqam Ibrahim, tapi nak jengok ke bawah takut kena langgar dek orang, jadi saya biarkan je. Bila dah sampai rukun Yamani baru mak saya perasan beg sandang dia dah hilang. Saya kata rileks, jangan cari dulu, nanti batal tawaf. Bila lalu selepas Maqam Ibrahim baru terjumpa beg mak. Alhamdulillah. Bimbang takut pusingan tadi terbatal sebab dalam kepala kami masa tu berkejar nak ambil beg tu, kami tambah satu lagi pusingan. Alhamdulillah tak ada apa pun yang hilang walaupun beg mak terbuka sedangkan sebelum tu dia tutup.

Selepas tawaf, saya tenung Baitullah. Disinilah Nabi Ibrahim pernah tawaf, Nabi Ismail pernah tawaf, Siti Hajar pernah tawaf, Nabi Muhammad pernah tawaf, Abu Bakar pernah tawaf, Umar pernah tawaf, Aisyah pernah tawaf, Fatimah pernah tawaf, Ali pernah tawaf, ulama'2 terkenal, kekasih Allah, bakal ahli syurga. Mungkin saya dah letakkan kaki di tapak yang mereka yang dijanjikan syurga pernah letakkan kaki.

Perlu diketahui bahawa ada beberapa tempat yang mustajab doa dalam Masjidil Haram iaitu
a. di belakang Multazam
b. di belakang Maqam Ibrahim
c. di Pancuran Emas
d. di Hijir Ismail

Dua hari kemudian saya cuba mengintai peluang untuk tawaf sunat, tapi nampak macam jemaah semakin ramai. Setiap hari saya cuba mengintai peluang untuk bertawaf, tapi orang semakin ramai nampaknya. suatu hari seorang kawan saya yang baru sampai, Kak Nora ajak saya melakukan tawaf sunat. Alhamdulillah gembira tak terperi. Memang masa tu orang ramai, kami dalam lingkaran yang paling luar. Saya tak ingat berapa lama saya tawaf.

Kaabah berbentuk 4 segi yang mana panjang dan lebarnya lebih kurang 12meter. Kaabah mempunyai 4 penjuru yang dinamakan rukun. Rukun dimana terletaknya Hajarul Aswad dipanggil Rukun Hajarul Aswad. Pergerakan tawaf adalah mengikut arah lawan jam. dimulai dengan niat sebelum Sudut/Rukun Hajarul Aswad dan istilam Hajarul Aswad kemudian cium tapak tangan berkenaan(tak perlu berbunyi cup masa cium tapak tangan tu ya!). Rukun kedua yang ditemui dalam tawaf ialah Rukun Iraqi sebab ia mengadap negeri Iraq. Antara Rukun Hajarul Aswad dan Rukun Iraqi terletak Multazam, pintu kaabah dan Maqam Ibrahim. Rukun yang ketiga ialah Rukun Syammi kerana ia mengadap negeri Syam. Antara Rukun Iraqi dan Rukun Syammi ada Hijir Ismail yang melengkong dan Pancuran Emas terletak di tengah-tengah bahagian atas. Rukun yang terakhir ialah Rukun Yamani. Kenapa? ........ Pandai(kalau jawab la)! Semasa melintas Rukun Yamani, disunatkan kita menyentuh Rukun Yamani, kalau sukar kita cuma perlu istilam iaitu mengangkat tangan melambai kepada Rukun Yamani. Jangan kucup tapak tangan pula, itu fly-kiss namanya. Istilam bukan fly-kiss.

Kawasan yang paling sendat semasa tawaf ialah
a. sebelum rukun Hajarul Aswad, sebab orang yang nak memulakan tawaf, mereka akan masuk di situ
b. selepas rukun Hajarul Aswad sebab jemaah yang siap 7 pusingan akan keluar dari lingkaran tawaf. Yang sadisnya, mereka ni keluar main cross country je, main potong orang, bukan keluar step-by-step.
c. dekat Multazam
d. menuju ke Hijir Ismail
e. sebelum pancuran emas. Saya rasa ramai yang memperlahan perjalanan di situ sebab nak berdoa. Di sinilah yang paling sendat walau sejauh manapun lingkaran kita.

Antara Rukun Syammi dan Rukun Yamani adalah kawasan yang paling lega semasa tawaf.

Semasa melakukan tawaf haji pada 10 Zulhijjah kami mengambil masa 1 1/2 jam, begitu juga tawaf sunat yang saya lakukan 2 minggu kemudian. Kawan saya Anizah bercerita bahawa kawannya yang tawaf di tingkat 1 mengambil masa cuma 1 jam. Jadi untuk tawaf wida' saya lakukannya di tingkat 1.

Baitullah

Siapa yang tak punya keinginan untuk melihat Rumah Allah? Saya rasa dalam hati setiap umat Islam teringin untuk melihat Rumah Allah yang dibina sebelum Adam diturunkan ke bumi ini lagi, dibangunkan kembali oleh Nabi Adam kemudian dibina kembali oleh Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim yang hidup sebelum ditimbulkan Kristian, sebelum lahirnya Kaum Yahudi telah mendirikan kembali Baitullah ini mengikut panduan yang diberikan Jibrail. Berdekatan dengannya ada maqam Ibrahim, tempat Nabi Allah Ibrahim berdiri semasa meletakkan bahan pada bahagian yang tinggi pada binaan berkenaan.

Binaan tertua yang masih wujud dan terus dikunjungi. Pernah dikunjungi oleh Nabi Allah Ibrahim, pernah dikunjungi oleh Nabi Allah Ismail, pernah dikunjungi oleh Nabi Allah Muhammad, pernah dikunjungi oleh para ulamak dan cendikiawan Islam.

Perkara pertama bila masuk ke Masjidil Haram tentulah saya mencari Kaabah ini. Tapi Astaghfirullah saya tak nampak Kaabah! Puas saya pusing saya tak nampak Kaabah! Astaghfirullah apa dosa saya? Lepas tu saya cari arah kiblat, sebab dalam masjidil haram ini, dan di Mekah ini, kiblatnya ialah kaabah bukan arah matahari jatuh. Saya letakkan kaki di tempat yang menandakan arah Kaabah. Dan...... Alhamdulillah! Saya dah nampak Kaabah! Dari Tingkatan 3 saya dah tanam cita2 untuk mengucup Hajarul Aswad dan sekarang saya dah nampak Kaabah. MasyaAllah! Subhanallah! Laa ilaaHa illallah! Allahu akbar. Menurut Ustaz Farid Ravi, doa kita yang pertama semasa pertamakali melihat Kaabah akan dimakbulkan. Jadi saranan ustaz Ravi, berdoalah agar semua doa kita selepas ini dimakbulkan.

Hadis dari Ibn Abbas r.a katanya: “Rasulullah SAW bersabda maksudnya, Bahawa Allah SWT menurunkan 120 rahmat ke atas rumah ini (Kaabah) setiap hari dan malam. 60 untuk mereka yang melakukan tawaf, 40 bagi mereka yang mendirikan sembahyang dan 20 bagi mereka yang memandang Kaabah." Jadi kalau sempat saya cuba untuk melihat kaabah setiap hari. Setiap kali melihat kaabah saya pasti tersenyum. Seronok tengok kaabah, seronok sangat. Sekarang menangis rindu.

Tapi bukan setiap masa dapat tengok kaabah. Saya cuma tengok kaabah selepas solat subuh. Saya tak terus balik, saya tunggu waktu dhuha. Lepas orang semua pulang selepas subuh, saya akan turun ke tingkat bawah. Tingkat bawah ni payah nak masuk sebab sentiasa penuh, saya selalu solat kat tingkat 1. Saya akan turun ke bawah, tengok kaabah, senyum, cari Quran. Masuk waktu ishra', solat ishra', tunggu dhuha, solat dhuha, tengok kaabah dan balik. Waktu lain saya terus balik lepas solat sebab temankan mak dan suami makan.

10 Januari 2009

Kehilangan Warga Emas

Sesiapa yang bawa orang tua kenalah berhati-hati. Orang tua kita mungkin akan extra sensitif semasa di Tanah Suci. Dugaannya memang besar jika bawa orang tua.

Antara masalah orang tua ialah mereka tak boleh duduk diam. Semasa di Klinik TH di Madinah ada seorang tua yang diiringi saya rasa oleh adiknya. Adiknya hantar kakaknya ke klinik kemudian dia pesan "Kalau dah siap kau jangan pergi mana-mana, kau duduk je sini", Kakaknya jawab "Kau jangan lama-lama" "Yelah kau jangan pergi mana-mana" "Kau jangan lama!" Kami gelak tengok gelagat mereka. Tak berapa lama selepas adiknya tinggalkan makcik tu, dia dah bangaun berjalan, tengok sana tengok sini. Saya dok risau takut kejap lagi dia tinggalkan klinik. Mak saya kata "Hmmm... macam perangai aku je".

Mak saya sendiri 2 kali tersesat. Dah lepas 3-4 jam baru balik ke bilik dengan keadaan berpeluh-peluh. Saya memang tak cari sebab dia memang peramah, dia pandai membaca dan dia pandai berbahasa Arab. Kat Malaysia pun dah banyak kali kita orang 'kehilangan' dia. Dia selalu pesan "Kau jangan cari aku", jadi bila dia hilang, dalam hati tu risau juga, tapi kena tunggu dulu, 3-4 jam kalau tak balik baru boleh cari. Jadi, kedua-dua kali tu ada orang yang bawa mak saya balik ke bilik. Lepas tu nak ke mana-mana mak saya memang tunggu saya. Kalau saya tak solat, dia memang tak akan pergi ke mana-mana kecuali kedai-kedai di bawah hotel.

Sebagai balasan, saya memang banyak kali Allah bagi orang tua yang tersesat. Sekali tu saya jumpa seorang makcik dari pakej saya di Hassan Khazindar, saya bawa balik ke hotel. Sekali tu pulak makcik Pakistan datang pegang tangan saya beritahu dia sesat. Nasib baik dia bawa kad pengenalan haji. Saya serahkan dia kepada sepasang anak-beranak dari Pakistan. Makcik tu bercakap dengan saya macam itik dan ayam, tapi Alhamdulillah anak-beranak tu boleh berbahasa Inggeris. Makcik tu cakaplah "rore rore rore" saya balas balik "Oooo makcik sesat ya? Makcik Pakistan ke? Nanti kita cari orang Pakistan." Saya pegang tangan dia jangan bagi dia lari sementara saya cari orang Pakistan. Bila saya nak tinggalkan dia saya cakap "Ma ji, ba bai" Bukan main seronok lagi dia bila kita panggil dia Ma ji.

Ada sekali tu pulak ada seorang makcik dari Hotel Sevilla Barakat, yang baru sampai mengadu dia dah kehilangan anak dan menantu dia lepas tawaf. Saya call petugas haji di hotel saya tanya kat mana Sevilla Barakah, tapi saya tak boleh imagin kat mana Sevilla Barakah. Lepas tu saya cari muslimat yang di telekongnya tertulis "Malayziya". Alhamdulillah tak lama terjumpa orang yang nak balik ke Sevilla.

Di Mina ada seorang makcik yang tak bawa gelang TH dan tak bawa kad pengenalan haji yang dibekalkan TH masa pergi ke bilik air, jadi kami tak tahu dia di khemah mana. Dia pun tak tahu dia di khemah mana. Payah juga tu. Pulak tu dia ada kencing manis, dah menggigil dah. Dia kata khemah dia dekat je dengan bilik air. Saya bawa dia ke pajabat TH, orang TH kata makcik ni mungkin muasasah. Alamak, takkan muasasah termasuk ke kawasan pakej. Rupa-rupanya belakang khemah saya ialah khemah muasasah, ada antara jemaah muasasah yang bertuah tinggal di kawasan pakej. Tak lama kemudian saya terjumpa seorang jemaah muasasah. Muslimat tu tanya makcik rumah apa, kerusi ke, meja ke, kipas ke. Ooooo rupa-rupanya meja, kerusi dan kipas masih digunakan. Makcik tu rumah kerusi. Alhamdulillah senang je cari khemah makcik.

Jemaah yang paling famous di Maktab kami ialah Pakcik Daud. Pakcik Daud hilang sebanyak lebih 20 kali. Ada sekali tu Pakcik Daud hilang selama 4 jam. Seramai 30 orang jemaah yang tinggal sama hotel dengan pakcik buat skuad mencari untuk cari pakcik Daud. Pakcik ditemui 4 km dari hotel. Di Arafahpun pakcik daud pernah tersasar. Pakcik ni dikatakan berumur >80 tahun. Sayapun tak kenal yang mana satu pakcik Daud, cuma kenal nama. Dia bukan satu hotel dengan saya.

Satu lagi jemaah yang famous ialah Makcik Ani. Makcik Ani ni cuma tahu 2 benda, nombor KT dan nombor bilik di Mekah. Yang lain dia tak tahu. Semasa di Arafah, masa anaknya tengah mengemas barang, Makcik Ani keluar untuk berwudhu. Bila dia dah siap berwudhu, orang dah memenuhi pintu khemahnya sebab bahagian depan khemah makcik Ani digunakan untuk menghidang. Beliau cuba cari ruang untuk masuk, tapi tak dapat. Akhirnya dia terjumpa pintu khemah, tapi khemah sebelah. Dia tanya ada tak anak dia nama sekian-sekian kat khemah tu, orang dalam khemah kata tak dak. dia pergi ke khemah sebelah pulak, sampai ke khemah depan sekali. Orang kat khemah depan tanya "Makcik ni Muasasah ka" "Ya muasasah" Habis! Makcik Ani diserahkan kepada petugas katering hotel yang ditugaskan sebagai petugas kebajikan Masya'er. Petugas katering berkenaan bawa makcik Ani ke muasasah. 2 jam kemudian siaraya di Maktab 86 tak putus2 panggil Makcik Ani dan siaraya di muasasah berkenaan tak putus2 panggil anak makcik Ani. Dua2 pun tak dengar. Alhamdulillah berkat usaha Tn Hj Jaafar, ketua pakej Delima, makcik Ani berjaya ditemui dan dihantar ke khemah semasa di Mina.

Masalah orang tua ni ialah dia orang dah tak nampak nak tengok peta. Kalau kita perkara pertama yang akan kita buat setelah tiba di satu tempat baru ialah tengok peta, kita ni kat mana, masjid kat mana, macamana nak balik. Sebelum berangkat ke Mekah, pihak THTS dah beritahu pintu mana yang kita mesti gunakan dan macamana nak balik ke hotel. Tapi orang tua dia tak ingat. Suruh pakai gelang dia rimas, suruh pakai lencana dia tak nak. Bila kita sendiri dah tua nantipun agaknya kitapun tak ambil kisah, lebih-lebih lagi kalau ada pengiring ke Tanah Suci. Mak saya sendiripun bila kita tunjuk peta dia tak nak tengok, peta tu halus sangat, dia dah tak nampak. Kalau kita, katakan kalau orang kata pintu 46, kita boleh compute, "Oooo agaknya yang mengadap ke Masjid Kuching kot", sebab pintu kita pintu 1 dan last sekali pintu 80 lebih. Orang tua dia tak nak compute, letih nak compute, ikut je orang muda.

Moral of the story, mak ayah kita memang teringin nak pergi haji. Tapi kalau mereka dah sampai ke tahap nyanyuk, mereka dah tak wajib menunaikan haji sebab mereka tidak termasuk golongan layak. Tapi kalau ingatan mereka masih elok, bawalah mereka ke Mekah. Berikan mereka peluang untuk mengerjakan haji sebagaimana mereka berikan kita peluang untuk ke sekolah, untuk belajar tinggi dan untuk menikmati kehidupan ini. Kita mungkin tinggal berasingan dengan orang tua kita, jadi ini sajalah masanya kita boleh mendekatkan diri dengan mereka. Banyakkan bersabar dengan orang tua. Berdoalah kepada Allah agar kita mampu menahan kesabaran dan boleh menjaga mereka selama di Tanah Suci. Ada ketika mereka menguji kita seperti seorang hamba, tapi kita juga pernah jadikan mereka hamba masa kita bayi.

09 Januari 2009

Laban

Penjagaan kesihatan amat penting bagi mempastikan kita dapat mengerjakan haji dengan sempurna sekurang-kurangnya bertaraf makbul. Kalau dapat haji mabrur Alhamdulillah, itulah impian setiap muslim. Ada 4 tahap haji mengikut kata ustaz. 1) Mabrur 2)Maksus 3)Makbul 4)Mardud - tertolak.

Pihak kerajaan Arab Saudi menetapkan semua jemaah haji wajib mengambil suntikan miningitis. Bagi rakyat Malaysia, suntikan ini diberi secara percuma. Saya ada dengar jemaah yang terpaksa bayar untuk mendapatkan suntikan ini, saya tak pasti kenapa, mungkin mereka yang dalam senarai menunggu. Tapi mak sayapun dalam senarai menunggu, tapi dapat suntikan percuma.

Jika kita hadiri kursus-kursus haji Intensif atau Perdana, akan ada klinik2 yang menawarkan suntikan anti-selsema dan anti-pneumonia. Pada pandangan saya tak perlu. Sebulan selepas ambil suntikan anti-selsema saya dan suami dapat selsema. Saya tanya doktor di klinik yang saya kunjungi, beliau memberitahu bahawa selsema ni disebabkan oleh pelbagai virus. Mungkin yang kita dapat tu adalah untuk melawan virus A, tapi yang serang kita virus J atau P atau S.

Saya, suami dan mak memang ambil kedua-dua suntikan, bukan murah tu RM140 seorang. Tapi mak dan suami memang teruk kena batuk di sana. Selsema pun dapat juga walaupun dah suntik.

Sebelum berangkat Kak Ani, kakak Sahar jiran saya menasihatkan saya meminum laban setiap hari. Ini adalah petua saudara Kak Ani yang menetap di Mekah. Dengan meminum laban mereka dapat menghindari dari terkena demam, batuk dan selsema.

Masa di Madinah saya tak jumpa laban ni, tak cari pun. Tapi bila di Mekah saya terjumpa laban di kedai runcit di bawah hotel, jadi saya mula minum laban. Bukanlah setiap hari, 2 atau 3 hari sekali. Saya ada juga batuk dan selsema, tapi tak lah teruk sangat. Saya suruh mak minum laban, tapi dia tak nak sebab laban ni tak sedap, maklumlah yoghurt susu kambing, manalah sedap. Pulak tu bukan ada perisa apa-apa, plain saja. Kalau yoghurt ada juga perisa strawberi ke, mangga ke, ni tidak, memang plain punya susu masam. Saya telan je sebab saya ingat dia adalah ubat saya. Mak saya teruk kena demam dan batuk. Kalau batuk sampai terkencing menyebabkan mak saya tak berani nak pergi Masjidil Haram. Mak saya kerap demam. Demam yang paling teruk ialah selepas balik dari masyaer. Kak Bariah, suaminya dan suami saya juga demam dan batuk.

Ada juga saya batuk sikit-sikit, sakit tekak. Tapi saya cepat-cepat minum laban dan cari garam untuk gargle dan ..... Fisherman's Friend. Petua Fisherman's Friend ni saya dapat dari Pharmacist di Diamond Square Bangi. Dia nasihatkan saya beli satu paket Fisherman's Friend, lepas tu potong kecik2. Bila nak ke Masjid, ambil satu dan hisap, sampai di masjid kumur dengan air zam-zam dan telan. Itu amalan dia menyebabkan dia tak batuk. Saya lak... he he he ambil Fisherman's Friend kalau tekak saya perit saja. Belen Fisherman's Friend yang saya bawa, saya beri pada rakan jamaah yang duduk di sebelah saya semasa penerbangan pulang. Dia kata setiap hari dia makan antibiotik tapi batuk dia tak baik-baik. Lepas makan Fisherman's Friend yang saya bagi, perit tekak dia makin berkurang.

Sesekali saya terfikir, mungkin Allah tak beri demam, batuk dan selsema kepada saya supaya saya dapat jaga mak sebab mak saya pernah suatu ketika 3 hari tak bangun sebab demam. Kalau Allah berikan demam kepada saya juga, siapalah nak jaga kami agaknya sebab suami sayapun tak larat disebabkan demam sekembali dari masya'er, Kak Bariahpun asyik terbaring demam, tapi sekurang-kurangnya Kak Bariah larat nak ke Dewan Makan, mak saya memang tak bangun berjalan, bangun cuma untuk solat, kemudian sambung baring. Alhamdulillah bila nak balik dah boleh bangun, itupun terhoyong-hayang.

Cuaca di Madinah sejuk sangat. Jam 10 pagi saya masih boleh pakai sweater yang dibekalkan TNB. Sweater tu kalau pakai kat ofis memang sweat. Tapi di Madinah tak sweat. Jadi saya beli madu di Bin Daud kononnya untuk memanaskan badan macam saya buat kat Malaysia. Sekali je saya makan madu tu. Esoknya iaitu hari ke-3 di Madinah naik satu ulcer dalam mulut. Pada hari terakhir di Madinah saya rasa ulcer tu dah sampai ke tekak. Nak menelanpun sakit, kebas satu mulut. Akhirnya saya mengalah, saya pergi ke klinik untuk dapatkan ubat. Selepas 3 hari di Mekah baru tekak saya elok. Hmmm... pandai-pandai je jadi doktor itulah padahnya.

Satu lagi cara jaga kesihatan di Mekah ialah dengan memakai purdah. Kalau pakai penutup muka yang lebut tu, bila kita bernafas penutup tu tertarik masuk ke dalam mulut atau hidung. Kalau guna jenis yang keras tu mulut dan hidung kita berpeluh. Ada seorang kawan yang buat purdah sendiri. Jadi saya beli kain putih yang nipis 5riyal 1meter. Saya potong panjang 1 1/2 kaki untuk tali dan 8 inci lebar x 12 inci tinggi untuk purdah. Saya boleh dapat 6 purdah kalau tak silap. Saya sedekahkan pada 2 orang kawan, buat untuk mak 2 dan 2 untuk saya. Ada lagi lebih kainnya. Bila kita pakai tutup muka macam tu tak de lah kita tersedut habuk atau virus-virus yang berterbangan di udara.

08 Januari 2009

Perjalanan ke Mekah

Beberapa hari sebelum ke Mekah pihak pakej telahpun memberi taklimat tentang haji dan umrah. Oleh kerana semua orang dalam kumpulan kami iaitu KT26 memilih untuk melaksanakan haji secara Tamattuk, maka pihak THTS menekankan tentang ibadah umrah, sebab sebaik sahaja masuk ke Mekah, kami akan melakukan ibadah umrah dulu, bila sampai masanya baru kami berniat haji.

Sehari sebelum bertolak, beg-beg kami yang besar dihantar ke Mekah menggunakan lori. Jadi pada malam sebelum bertolak, kami cuma ada hand luggage yang berisi 3 pasang pakaian.

Sedih rasanya nak meninggalkan kota Nabi, mengucapkan selamat tinggal pada Nabi Muhammad tercinta. Terasa ingin datang lagi dan menatap Masjid dimana bersemadinya jasad Kekasih Allah itu lagi. Wahai Rasulullah, wahai ahli Rasulullah, Wahai Abu Bakar yang benar, Wahai Omar al-Khattab, wahai sahabat2 Nabi, selamat tinggal!

Bangun pagi kami digalakkan mandi sunat ihram. Sebelum itu kami digalakkan memotong dan mencukur semua bulu-bulu yang mengotorkan, potong kuku, memendekkan kumis bagi lelaki dan mendandan janggut. Sebelum bertolak kami digalakkan memakai pakaian ihram dan berwangi-wangian(bagi lelaki). Kami bertolak selepas solat zohor. Mana yang belum solat akan melakukan solat yang ke-40 di Masjid Nabawi, atau mungkin lebih dari itu. Pihak pakej menyediakan makan malam yang dibungkus. Ada 3 roti, satu minuman manis dan sebotol air mineral 600ml.

Selepas zohor kami berangkat menuju ke Masjid Bir 'Ali untuk solat Asar dan berniat umrah. Kami digalakkan memberikan tips sebanyak 3 riyal seorang kepada driver agar perjalanan kami lancar. Driver ni banyak ragamnya, kalau tak diberikan tips, nanti mereka akan jalan perlahan ke atau matikan air-cond bas. Payah kita nanti kalau terganggu dalam perjalanan. Jadi baik kita bagi tips awal-awal. Sepanjang jalan kami bertalbiah. Muslimin bergilir-gilir mengetuai talbiah. Kadang-kadang driver baspun ikut sama mengetuai talbiah. Sebutan orang Arab, of courselah sedap didengar, makhraj dan tajwid semuanya tepat.

Satu pemandangan yang menakjubkan, bukit gondol tanpa pokok, cantik sangat! Bukit batu semuanya. Sepanjang siang, saya tak tidur, asyik menikmati pemandangan yang tak ada di tempat kita.

Driver akan singgah di satu restoran untuk makan. Jadi bolehlah kita solat jamak Maghrib dan Isyak di situ.

Sepanjang perjalanan ada 2 checkpoints. Kedua-dua checkpoints tu sekejap je dan Alhamdulillah di setiap checkpoints kami dapat hadiah dari kerajaan Arab Saudi. Hadiah berupa makanan dan buku2 dalam Bahasa Indonesia. 3 kotak semua sekali makanan yang kami bawa ke hotel.

Sampai di Mekah lebih kurang jam 10:00 malam. Terubat kesedihan meninggalkan Madinah dengan tibanya ke tanah kelahiran Rasulullah, tanah yang akan menerima kunjungan berjuta ummat mengerjakan haji.

Sesampainya kami di hotel, kami dibawa ke dewan makan untuk jamuan makan malam. Laaa... ada makan malam rupanya, patutpun mereka cuma bekalkan roti je, rupa2nya alas perut je. Alhamdulillah! Saya tinggal di bilik 313 bersama mak dan Kak Bariah dari Perlis. Mak dan Kak Bariah mengerjakan tawaf dan saie malam tu juga. Saya, 4 hari kemudian. 2-3 hari selepas sampai, barang-barang makanan yang 3 kota tu, habis saya sedekahkan kepada peminta sedekah yang menunggu sepanjang jalan menuju ke Masjidil Haram.

Amalan-amalan Sunat

Sepanjang di Tanah Suci, pihak agensi haji, samada Tabung Haji, Tabung Haji Travel dan pakej-pakej swasta akan sentiasa cuba mempastikan para jemaah mendapat haji yang mabrur dengan memperingatkan jemaah perkara-perkara wajib haji, rukun haji dan sunnat haji melalui ceramah-ceramah.

Para jemaah juga digalakkan melakukan ibadah-ibadah sunnat seperti membaca Al-Quran, solat tahajjud, solat tasbih, solat hajat, solat witir, solat ishra', solat dhuha dan solat taubat. Jemaah wanita pula diajar tentang permasalahan wanita seperti bagaimana untuk mempastikan bahawa kita benar-benar telah bersih dari haidh, wudhu untuk orang istihadhah, wudhu orang yang tak tos kencing, menjaga wudhu bagi orang yang banyak keputihan dan mazi.

Solat Tahajjud dilakukan selepas sepertiga malam yang akhir. Bila ya sepertiga malam? Malam bererti bermula waktu maghrib hingga subuh. Katakanlah waktu maghrib masuk lebih kurang jam 5:30 petang(di Tanah Suci semasa saya di sana) dan subuh masuk lebih kurang jam 5:30 pagi. Maka malam tersebut panjangnya ialah 12 jam. Sepertiga malam ialah selama 4 jam, maka sepertiga malam bermula pada jam 1:30pagi. Wallahu A'lam. Ikut suka hatilah berapa rakaat nak buat solat Tahajjud ni, tapi setiap solat dilakukan hanya 2 rakaat. Jadi, maksudnya nak buat berapa kalipun tak apa, asalkan setiap kali tu ialah 2 rakaat. Ada doa khusus untuk tahajjud, carilah di kedai buku, atau lebih baiknya berguru untuk mendapatkan sanad dan sahih bacaannya.

Solat Hajat dilakukan bila kita ada hajat dan ingin memohon dari Allah. Dilakukan 2 rakaat. Pada rakaat pertama saya biasanya baca ayat kursi 5 kali dan di rakaat kedua saya baca surah al-Ikhlas 3 kali. Jangan lupa baca Fatihah sebelum baca surah tu! Berdoa dalam hati semasa sujud yang terakhir. Ulangi doa selepas salam. Sebaik-baiknya belajarlah dengan guru agama. Saya cuma menyampaikan pengalaman sendiri.

Solat Tasbih bolehlah dilakukan sekali seumur hidup, atau setiap tahun, atau setiap bulan atau setiap minggu, atau setiap hari kalau mampu. Solatnya 4 rakaat. Kalau kita lakukan pada waktu malam, kita hendaklah pecahkan kepada 2 solat, iaitu 2 rakaat setiap solat. Kalau kita lakukan pada waktu siang kita kena lakukan 4 rakaat sekaligus. Yang paling tak larat solat tasbih ni ialah masa rukuk. Adoi... tapi kerana Allah, Allah suka kita memujiNya, sudah banyak nikmat yang Allah berikan pada kita, dah banyak dosa yang kita lakukan terhadapNya, terlalu besar dan luas nikmatNya, terlalu indah alamaya yang diciptakanNya untuk kita nikmati, terlalu kompleksnya kehidupan ini menyebabkan banyak pengalaman dan kenangan yang kita tempuhi, maka kita gagahkan badan untuk lakukan solat ini. Subhanallah, Walhamdulillah, Walaa ilaaha illallah Wallahu akbar, Walahaulawala quwwata illa billahil 'Aliyyil 'Adzim

Solat ishra' dilakukan selepas 15 minit terbitnya matahari. Sila semak waktu syuruk di tempat anda. Selepas 15 minit tamatnya waktu subuh, Ustazah saya di Madinah kata, kita dah boleh melakukan solat sunat Ishra'. Waktunya pendek sahaja iaitu 13 minit. Selepas tamatnya waktu Ishra', masuk pula waktu Dhuha. Dhuha ni pun boleh dilakukan sekali, dua kali, 3 kali atau 5 kali, tapi setiap satu solat tu dilakukan 2 rakaat sahaja.

Solat sunat taubat dilakukan 2 rakaat. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah bacalah surah al-Kafirun sebanyak 3, 5, 7 atau 10 kali. Rakaat kedua bacalah Surah Al-Ikhlas sebanyak 3, 5, 7 atau 10 kali. Semasa sujud terakhir pada rakaat kedua bacalah doa taubat Nabi Nuh dalam perut ikan nun sebanyak 3, 5, 7 atau 10 kali. Berdoalah samada semasa sujud berkenaan atau selepas solat. Semoga allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.

Bagi wanita yang istihadah atau orang yang tak tos kencing, hendaklah sentiasa guna pad atau pantyliner. Satu wudhu hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu dan beberapa solat pengiringnya atau satu tawaf, solat sunat ihram dan solat sunat selepas tawaf. tidak boleh dicampurkan solat fadhu dan tawaf menggunakan satu wudhu. Hanya solat sunat yang boleh mengiringi kedua-dua ibadah tersebut. Itupun solat sunat yang mengiringi ibadah berkenaan sahaja. Maknanya kalau sedang tawaf, tetiba masuk waktu solat, kena berwudhu sekali lagi.

Sila sahihkan perkongsian ilmu ini dengan ustaz atau ustazah yang bertauliah.

Semasa dalam haidh, oleh sebab tak dapat mengaji, saya suka baca terjemahan al-Quran atau baca buku yang saya bawa. Majalah Anis keluaran November 2008 dah berapa kali khatam. Kadang-kadang saya bertasbih, menggantikan solat sunat tasbih.

Saya pernah lakukan solat sunat istisqa' iaitu solat minta hujan semasa di Mekah. Masa tu saya pun tak tahu saya sedang solat sunat istisqa'. Saya cuma berniat "Sahaja aku solat sunat sebagaimana imam ini sebagai makmum" Balik ke hotel saya tanya ustaz dan dia kata sah lafaz niat yang macam tu. Sebenarnya malam sebelumnya saya ada baca tentang orang yang berniat haji "Sahaja aku berihram seperti si polan". Jadi kalau si polan tu ihram haji, orang berkenaan juga sedang berihram haji, kalau si polan berihram umrah, maka diapun dalam ihram umrah. kenalah ikut semua apa yang polan buat. Solat ni macam solat raya. Ada banyak takbir dan ada khutbah. The best part is, saya tak pasti berapa kali takbir pada satau2 rakaat, ustaz kata 7 kalau saya tak silap, saya kurang dengar; saya cuma ikut apa yang imam buat dan apa yang makmum sebelah saya buat, he he he. Solat ni dilakukan pada waktu ishra'.

04 Januari 2009

Shopping di Madinah

Saya rasa lebih senang shopping di Madinah berbanding Mekah. Tapi sebab kononnya azam tak nak shopping, saya tak lah beria sangat nak membeli-belah di Madinah. Lagipun kita datang dengan niat mengerjakan haji, jadi tak seronok nak shopping bila hajat kita masih belum terlaksana.

Kedai-kedai di Madinah lebih teratur berbanding Mekah. kalau kedai jubah, semuanya jubah, kalau kedai kasut, semuanya kasut. Di Mekah semuanya macam kedai runcit, kedai kecil tapi semua ada. Ada jugalah yang jual secara khusus seperti di area Masjid Kucing, tapi kebanyakan area, rencam.

Paling senang di Madinah ada Pasar Kurma, belilah semua kurma yang kita nak di sini. Di Mekah kurmanya agak lama, pecah-pecah dan keras. Di Madinah kurmanya segar dan lembut. Ada juga dijual kurma muda. Kurma yang terkenal ialah kurma Ajwa'. Dalam satu hadis Rasulullah menyarankan kita berubat menggunakan ajwa'. Ajwa' ni kecil je buahnya. Harganya ada yang 50riyal dan ada yang 90 riyal. Kalau beli dalam bas 100 riyal. Ada sejenis kurma kalau tak silap namanya Ambar. Kurma ni besar mencecah 3 inci panjang dan lebarnya 1 inci. Makan sebijipun dah kenyang. 1kg harganya 50riyal.

Tapi kita kena perhatikan peniaga bila mereka timbang, kalau boleh pilih sendiri. Yang saya beli dan suruh mereka pilih cuma 10 biji saja kot kurma Ambar, yang lain tu depa campur dengan kurma yang separuh saiznya. Balik Malaysia baru perasan.

Sehari selepas pulang ke tanah air, saya pergi ke Warta Bangi. Kurma Ajwa' dijual dengan harga RM150 dan Ambar RM100.

Buah tangan yang biasa orang beli di Madinah ialah coklat, Pistachio, kacang kuda, buah tin, apricot dan kismis. Kacang kuda, apricot, tin dan kismis, harganya lebih kurang seperti di Malaysia. Coklat memang berbeza. Ada coklat yang dijual secara kilo, RM22 sekilo. Sedap. Ada juga coklat yang terdapat kurma di dalamnya.

Jubah Madinah cantik2. Tapi seperkara pasal jubah ni, dia orang tak jahit tepi untuk bahagian sambungan ke lengan dan bahu. Jadi balik Malaysia kena jahit tepi dulu.

Area shopping di Madinah ialah di depan Masjid Nabawi(ada pasar untuk buah tangan dan jubah), dibawah hotel-hotel dan di setiap pintu pagar Masjid.

Solat di Madinah

Ada hadis mengatakan kalau seseorang solat 40 waktu berturut-turut di Masjid Nabawi dijamin syurga. Maka seboleh-bolehnya pihak TH uruskan supaya semua bakal haji boleh lakukan solat jamaah 40 waktu di Masjid Nabawi. Ada yang mengatakan hadis ni dhaif, dan ada yang mengatakan ianya tak terhad kepada Masjid Nabawi semata-mata. Jamaah Indonesia juga sependapat dalam hal ini, mereka juga mengejar 40 solat di Masjid Nabawi.

Oleh kerana kapalterbang kami terlewat sehari, pihak TH menambah satu hari untuk kami di Madinah agar kami dapat 40 waktu di Masjid Nabawi.

Hotel kami cuma terletak di belakang Masjid Nabawi. Hotel Anwar Movenpick ni ada 2 bangunan yang bersambung. Bagi jemaah pakej, kami diletakkan di bahagian hadapan, manakala bagi jemaah muasasah ditempatkan di bangunan belakang. Pada setiap waktu solat ketika azan, iqamah dan solat itu sendiri, pembesar suara dari masjid disambungkan terus ke hotel, jadi kami boleh dengar imam solat jika kami buka pintu bilik.

Hotel bagi jemaah pakej-pakej swasta pun berdekatan dengan masjid. Yang kesiannya jemaah Indonesia. Suatu ketika masa saya tak dapat solat, saya turun untuk melihat gelagat manusia. Saya terlihat ramai jemaah Indonesia yang masih berlari walaupun imam sudah ditahiyyat akhir. Rupa-rupanya mereka tinggal satu batu dari Masjid.

Pada waktu solat semua perniagaan diwajibkan tutup termasuk yang berniaga di jalanan.

01 Januari 2009

Ziarah Madinah

Kami dibawa berziarah disekitar Madinah oleh pakej kami iaitu Tabung Haji Travel & Tours. Ziarah dikendalikan oleh mutawwif yang juga pelajar2 dari Universiti Madinah. Kami dibawa melawat Masjid Quba', Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan medan Uhud dimana berlakunya peperangan Uhud.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud sesiapa yang solat 2 rakaat di Masjid Quba' pahalanya sama seperti mengerjakan umrah. Masjid Quba' adalah masjid pertama yang didirikan dalam sejarah Islam untuk dilakukan solat di dalamnya mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Destinasi kedua ialah Masjid Qiblatain. Pada permulaan Islam, orang Islam solat mengadap Masjidil Aqsa. Perkara ini menjadi ejekan Kaum Yahudi Madinah seolah-olah Islam tak ada kiblat sendiri. Perkara ini menimbulkan kesedihan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda selalu melihat ke langit kalau-kalau turun firman dari Allah mengarahkan baginda menukar arah kiblat ke Masjidil Haram. suatu hari sewaktu solat zohor, selepas 2 rakaat, maka turun perintah dari Allah agar menukar arah kiblat ke Masjidil Haram. Pada masa tersebut Rasulullah sedang solat di masjid ini. Perkara ini ada dinyatakan dalam Al-Quran. Maka solat zohor baginda pada hari itu, 2 rakaat mengadap Masjidil Aqsa dan 2 rakaat lagi mengadap Masjidil Haram.

Pada masa tak boleh solat, saya baca Quran Terjemahan dan memang berjumpa dengan ayat yang menceritakan perkara ini. Sedih rasanya rasul kita dihina oleh Yahudi. Sampai sekarangpun Yahudi sentiasa menghina Islam. Tapi Allah memang menjanjikan neraka jahannam untuk Yahudi Laknatullah. Banyak sekali ayat2 dalam Al-Quran yang menceritakan perkara ini. Semasa turun saya berjumpa dengan kawan semasa di SMTT, Wan Rosnani, tapi tak sempat tanya dia KT berapa dan hotel mana, dia terus berlari ke rombongannya. Sehari sebelum bertolak ke Jeddah baru berjumpa Rose.

Destinasi kami seterusnya ialah Masjid Tujuh. Semasa peperangan Khandak, tentera Islam dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap panglima Islam mendirikan solat jamaah di lokasi masing-masing. Terdapat 7 lokasi semuanya, sebab itulah dipanggil Masjid Tujuh.

Seterusnya kami ke medan Peperangan Uhud. disini terdaptnya perkuburan Uhud. Salah satu jasd yang dikebumikan di sini ialah jasad Saidina Hamzah Singa Allah. Perkuburan asal shuhada Uhud terletak dilokasi dimana didirikan masjid di medan berkenaan. Pernah terjadi satu banjir besar dan semua mayat2 para shuhada timbul. Dikatakan bahawa mayat2 tersebut masih utuh dan darah segar masih mengalir dari luka mereka. Pemerintah pada waktu itu kemudiannya memindahkan jasad2 berkenaan ke lokasi sekarang. Tiada nesan, hanya pagar.

Kami sepatutnya pergi ke Pasar Tamar, tapi memandangkan pemandu kami baru 3 hari sampai dari Indonesia, banyak kali kami tersasar menyebabkan kami terlewat. Jadi mutawwif cuma menunjukkan arah ke Pasar Kurma. Nasihat saya tak perlu beli kurma dalam bas.

Solat Jenazah

Perkara yang saya baru buat di Tanah Suci ini ialah Solat Jenazah. Di sinilah pertama kali saya solat jenazah. Selama ni kat Malaysia biasanya kaum lelaki je yang solat jenazah. Kat sini semua orang boleh solat jenazah kalau berkeinginan. Rupa-rupanya pahala solat jenazah ni macam dapat satu Bukit Uhud. Bukit Uhud ni satu-satunya bukit di syurga. Besarnya bukit Uhud ni sampai tak masuk dalam kamera, saya terpaksa ambil video untuk rakamkan Bukit Uhud.

Saya memang teruja untuk solat jenazah. Lepas solat fardhu di dua masjid ni, tiada doa lepas solat secara jamaah. Kalau nak solat sunat mengiringi fardhu(ba'diah) biasanya tak sempat. Kadang-kadang orang dah masuk takbir kedua baru kita boleh takbir pertama. Jadi saya selalunya tunggu hingga imam mulakan solat jenazah, lepas solat jenazah barulah saya solah sunat ba'diah.

Solat jenazah ni rupa-rupanya tak lah susah sangat. Tak de rukuk tak de sujud, hanya takbir dan bacaan-bacaannya. Selepas takbir pertama, cuma baca Al-Fatihah. Kemudian kita takbir kali kedua. Selepas takbir kedua tak perlu baca Fatihah lagi, sebaliknya bacalah selawat dalam tahiyyat akhir "Allahummasolli 'Ala Muhammad...." hingga "Fil aalamina innaka hamiidummajiid". Selepas takbir ke-3 baca "Allaahummaghfirlahum warhamhum wa'Afihim wa'fu anhum" Sila rujuk ejaan dalam jawi untuk ketepatan bacaan. Sebaik-baiknya belajarlah dari ustaz/ah, jangan belajar dari bacaan semata-mata. Bacaan pula berbeza untuk jenazah lelaki dan jenazah perempuan. Selepas takbir ke-4 ada doanya, tapi di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram imamnya tak baca doa, lepas takbir terus salam. Ehem salamnya bukan dua tau, satu je. Pertama kali lakukan solat jenazah, saya teringat tazkirah dalam radio IKIM, "Apakah dengan solat satu salam dapat .....".

Kadang-kadang bukan satu jenazah yang disembahyangkan. Saya pernah tengok 7 kereta jenazah di luar Masjidil Haram. Ustaz kata kadang2 ada 2 jenazah dalam satu kereta. Maknanya mungkin 14 jenazah. Ustaz pernah tengok 12 kereta jenazah. Ada hadis mengatakan sesiapa yang dimakamkan di Perkuburan Baqi (di Madinah) akan terus masuk syurga.

Seronoknya jenazah yang disembahyangkan oleh berjuta ummat manusia.