03 November 2009

Dua rakyat Malaysia terbunuh dalam kemalangan di Madinah

Daripada MARZUKI YUSOFF

MEKAH 2 Nov. - Dua rakyat Malaysia terbunuh apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Yutma, kira-kira 70 kilometer dari Madinah, malam semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah Basir Hassan, 35, dan Shariff Ismail, 57, pekerja Syarikat Aramal Services. Seorang lagi rakyat Malaysia, Zulazil Yasin, 36, cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital King Fahad, Madinah.

Pusat Operasi Tabung Haji di Mekah dalam kenyataannya malam ini berkata, kenderaan jenis GMC yang dinaiki mangsa dan dipandu oleh pemandu warga Indonesia dari syarikat pengangkutan, Alfa Kargo ketika kejadian dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah.

Bagaimanapun, Tabung Haji belum mendapat maklumat sama ada kenderaan itu terbabas atau bertembung dengan kenderaan lain.

''Pemandu GMC berkenaan telah ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut berhubung nahas itu dan pegawai perubatan Tabung Haji di Madinah telah membuat pengecaman mangsa di Hospital Miqat dan Hospital King Fahad.

''Anak Allahyarham Shariff juga telah membuat pengecaman jenazah bapanya, manakala jenazah Basir oleh jirannya," katanya.

Ketiga-tiga rakyat Malaysia itu menggunakan visa kerja dari rakan niaga syarikat tersebut di negara ini iaitu Alfa Cargo.

Alfa Cargo adalah sebuah syarikat di Arab Saudi yang dilantik oleh Tabung Haji untuk menguruskan bagasi para jemaah haji dari Malaysia.

Pusat Operasi Tabung Haji menambah, anak Allahyarham Shariff telah bersetuju menandatangani borang kebenaran pengebumian bapanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Salleh Abd. Mubin mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga kedua-dua mangsa dan berharap keluarga mereka dapat menerima nahas itu sebagai takdir.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji melalui Pejabat Konsulnya dan Pejabat Operasi Haji di Madinah telah menguruskan pengebumian kedua-dua mangsa di tanah perkuburan al-Baqi' dan sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Nabawi yang terletak bersebelahan perkuburan tersebut. - UTUSAN

1 ulasan:

Salwani berkata...

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh mereka berdua. SEmoga keluarga mereka bersabar dengan ujian ini.

Bhagianya... Bukan senang nak dikuburkan di Baqi'. Mendapat jaminan syurga.