25 November 2009

Pelatihan Solat Khusyuk

Hujung minggu lepas saya hadir pelatihan solat khusyuk di Balai Islam TNB anjuran Shalat Centre Kuala Lumpur. Kursus ini bagaikan pucuk dicita ulam mendatang bagi saya. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, dalam salah satu kuliah di Mina, ustazah memaklumkan bahawa solat itu ada 4 tahap. Solat orang yang jahil dan lalai tak diterima. Astaghfirullah. Solat orang yang tahu tapi lalai juga tertolak. Solat kita mungkin tergolong dalam 2 golongan ni kot. Astaghfirullah.

Solat khusyuk adalah sau perkara yang terlepas dari saya, saya pernah dapat, tapi saya lepaskan. Masa tu indahnya solat, seperti kata Pak Abu Sangkan, indahnya solat, MasyaAllah. Bila berdiri, rasa nak sujud, bila dah sujud, nak sujud lagi. Dah siap solat rasa nak sujud lagi. Nak solat lagi. Indahnya solat!

Tapi tiba-tiba datang lintasan.... Allah tu macamana rupanya? Adakah macam tulisan kalimat Allah? Macamana hidungnya, macamana matanya? Tingginya? Astaghfirullah! Itu satu hal, kemudian datang satu lagi dugaan, kepala saya mula sakit akibat banyak menangis. Oleh kerana kurangnya ilmu, saya berpisah dari solat khusyuk. Tak tahan daulat, cubaannya amat berat tanpa ilmu. Tapi siapa yang nak ajar, macamana nak dapat solat khusyuk? Tak ada! Kelemahan saya juga agaknya, tak bertanya. Tapi solat khusyuk memang tak pernah dibincangkan. Hanya dikalangan orang yang pernah merasa nikmat solat akan bercakap tentang indahnya solat. Tapi, tak pernah dibincangkan oleh ustaz atau ustazah dalam mana-mana kuliah atau usrah.

Pernah dalam satu forum, seorang bertanya saya, betul ke saya pernah dapat solat khusyuk? Macamana rupa Allah? Dari cara beliau bertanya, saya menjadi faham bahawa dia pernah alami pengalaman yang serupa dengan saya.

Satu ketika saya menjadi ingin untuk kembali mendapat khusyuk dalam solat. Malu rasanya pda Allah bila kita solat, tapi fikiran terbang melayang sampai berpuluh destinasi menantikan siapnya 4 rakaat solat. Malu pada Allah, tapi dah terlupa macamana nak dapatkan solat khusyuk. Dapat sekejap saja, kemudian hilang balik.

Bila Kak Nora bercakap tentang solat khusyuk, Masyaallah! Seronoknya, nak sangat belajar tentang solat khusyuk. Dan hujung minggu lepas terurailah segalanya. Saya rasa bahagia sangat dapat berguru dengan Pak Abu Sangkan.

Sedikit info tentang Pak Abu Sangkan, beliau lahir tahun 1965. Dengan isteri pertama beliau mendapat 3 orang anak. Kalau tak silap anak sulungnya bernama Sangkan, maka beliau menggelarkan dirinya Abu, sesuai dengan saranan dalam buku Pendidikan Anak2 Dalam Islam. Dari isteri keduanya beliau mendapat seorang anak lelaki akan berumur setahun pada Dis 2009. Katanya beliau berasal dari Madura. Beliau gelak bila saya sebut sepatah perkataan boyan pada anak Kak Nora, Mardhiyyah, "Nene!"

Pak Abu mulakan kuliahnya dengan kedudukan tubuh yang betul ketika solat, kerana solat itu sepatutnya memperbaiki keadaan kesihatan kita, bukan memburukkan kesihatan. Keadaan tubuh manusia itu, tulang belakangnya melengkong. Itu adalah bentuk semulajadi badan kita. Oleh yang demikian, kita kena latih badan kita agar sentiasa dalam postur yang betul. Semasa berdiri, hendaklah berdiri tegap. Kalau kita berdiri dengan malas, kita akan terikut-ikut dalam setiap urusan, kita biarkan badan kita dalam postur yang tidak betul, postur malas!

Jadi semasa kita berdiri tegak, tulang belakang kita melengkong, masa rukuk pun kita tegakkan badan dan pastikan tulang belakang kita melengkung, dengan cara turunkan sikit badan kita kemudian tolak naik bahu kita ke atas. Letakkan tangan di lutut dan buka jari-jemari kita. Tolak kepala kita kedepan sebanyak mana yang boleh. Bagi wanita, cepat2 tarik siku ke sisi badan.

Semasa hendak sujud, letakkan kedua2 tangan di sejadah macam nak merangkak, pastikan punggung berada di depan lutut, jangan letakkan punggung di belakang lutut. Bila kita sujud pastikan hujung jari hantu kita separas hidung. Patikan jari mengadap kiblat. Cuba perhatikan, untuk turunkan badan dan untuk naikkan kembali muka ke atas, kita akan menggunakan kekuatan lengan. Bagi lelaki jarak ibu jari dari pipi adalah anggaran boleh letak satu tapak tangan sendiri selebar dari ibu jari ke jari anak dan siku dikepakkan. Bagi wanita, ibu jari hendaklah rapat ke pipi dan siku rapat ke badan. Jatuhkan sedikit tulang belakang, agar ia melengkung, jangan sampai badan kita nampak macam mangkuk yang di telungkup. Cuba lihat bentuk badan kucing bila dia menggeliat ke depan. Dadanya dijatuhkan ke lantai.

Bila saya balik ke rumah dan ceritakan pada suami, dia bagi dua buah buku lagi yang mengajarkan cara postur badan yang sama. Kata suami saya kalau solat jamaah, kalau solat di saf depan memang boleh buat macam tu, tapi kalau solat di saf belakang, memang tak dapat buat. Memang betulpun, bila saya cuba kat rumah, saya akan sujud sepanjang sejadah!

kata Pak Abu, setiap kali kita nak solat, sebenarnya kita nak mengadap Allah, kalau kita tak mengadap Allah, kita mengadap siapa? Jadi maknanya kita solat tu untuk berjumpa Allah. Ada ayat Quran, Yaaa Ayyuhannafsul Mutmainnah - Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Ayat ni bukan untuk orang yang mati, tapi untuk orang hidup. Kita kembali kepada Allah setiap kali kita solat. Jadi setiap kali kita bertemu Allah, tinggalkanlah semua harta dunia, pangkat dunia, nama di dunia. Kita ini mengadap Allah, hormatilah hak Allah setiap kali kita bertemu dengannya. Kita dah angkat takbir, dah masuk mengadap, jangan pergi pasar malam!

Irji'i ila Rabbiki Radhiyatan Mardhiyyah - kembalilah pada tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhainya - setiap kali kita nak solat, pergilah solat dengan hati yang redha, jangan rasa terpaksa. Masuklah dalam solat secara sukarela, dengan hati gembira dan penuh kerinduan. Biarlah Allah pula redha dengan kita, berbangga dengan pengabdian kita kepadaNya.

Bila kita mengangkat takbir, sebutlah kalimah takbir tu, fahami maknanya. Rasakan bahawa, kita ni sekarang nak pergi kepadaNya, nak bertemu Allah, nak berjumpa Allah, nak kembali kepada Allah, nak get connected to Allah.

Bila kita dah connected dengan Allah, teruskan connecting, jangan putuskan hubungan dengan Allah tu, teruskan merasa Allah melihat kita, memandang kita, kita diperhatikan oleh Allah. Bagaikan seorang anak yang telah berbuat salah, datang minta maaf dengan maknya, penuh rasa malu dan nak minta maaf, mengadaplah pada Allah dengan rasa bersalah, malu ingin minta maaf. Kalau tak ada apa yang nak dimaafkan, mengadaplah Allah dengan rasa rindu, terima kasih atas segala nikmat Allah, bahagia connected dengan Allah. Hayatilah asma Allah, kita akan rasa bahagia ada hubungan dengan Allah, berhadapan dengan Allah. Hayatilah Al-Fatihah, kita akan merasa bahagia menyebut setiap kalimat al-Fatihah.

Kecilkan diri kita di hadapan Allah, kerana Allah tu memang besar. Teruskan merasa kerdil dan anda memang ingin untuk sujud kepadaNya. Kita kecik, Allahlah yang Maha Besar. Tunduk perlahan-lahan hingga kita dapat rukuk menghadap Allah. Ikutkan hati anda untuk terus sujud dan sujudlah. Sebutlah nama Allah, dengan penuh kasih-sayang, dengan penuh pengabdian, dengan penuh kerendahan, dengan penuh keinsafan atas segala dosa-dosa kita, atas sikap arrogant kita, atas keterlaluan kita dan atas kedegilan kita melanggar segala laranganNya. Rasakan ketenangan ketika sujud, Tenang setenang-tenangnya bila dah dapat mengadu pada Allah.

Pak Abu Sangkan juga ada mengatakan bahawaAllah itu tidak berupa. Allah itu ada dimana-mana sentiasa memantau kita.

17 November 2009

Inco

Saya tahu mak kalau batuk mesti terkencing. Jadi saya bagitau dia doktor ajar senaman agar tidak terkencing. Tapi mak kata dia dah lama tak terkencing masa batuk. Kira dah OK lah tu. Jadi saya rilek ajelah.

Tapi bila sampai Madinah, mulalah penyakit dia datang. Kita dah lama tak tinggal dengan dia, jadi kita tak tahu apa penyakit dia. Mungkin orang tua kita nak sorokkan penyakit dia agar kita tak risau dengan keadaan mereka. Dia orang pun tak terfikir bahawa perkara yang dirahsiakan tu menyusahkan bila di sana. Yalah, takkan dia orang saja-saja nak menyusahkan kita kan? Kalau boleh dia orangpun nak semuanya berjalan lancar.

Di Madinah tak teruk sangat keadaan mak saya, tapi bila di Mekah, dah selalu demam, batuk selsema, mulalah dia tak dapat kontrol bladder.

Puas saya cari di Pasaraya Ben Daud dan di Farmasi, tapi tak jumpa diaper untuk orang dewasa. Oleh kerana saya datang awal, jadi sempatlah saya pesan kepada kawan yang nak datang minta tolong belikan Inco dari Malaysia. Sementara menanti Inco datang, terpaksalah saya berikan pad biasa kat mak.

Jadi nasihat saya kepada bakal haji yang bawa orang tua, bawalah sedikit bekalan Inco. au mak kita tak gunakan, bolehlah kita sedekahkan kepada jemaah lain yang memerlukan. Banyak pahala bersedekah di Mekah, 100,000 ganda dari pahala sedekah di Malaysa.

Kesian sebenarnya orang tua yang diserang batuk terkencing ni. Dia orang tu harapan menggunung tinggi nak buat ibadat sebanyak2nya di Mekah, tapi apakan daya tak dapat nak ke masjid kerap sangat atau lama2 sangat.

16 November 2009

Sakit Tulang Tumit

6 bulan sebelum berangkat ke Mekah saya mula di serang sakit tulang tumit, on dan off. Sampai kat sana sakit tu datang lagi. Tak putus saya doa sepanjang kat sana supaya janganlah Allah jadikan penyakit ni sebagai penghalang saya dari melakukan ibadat saya sepanjang di sana. Alhamdulillah, tak lah sakit macam kat Malaysia, tapi kena usaha juga.

Saya tanya doktor kenapa sakit macam tu. Kata doktor selama ni kita pakai kasut yang tapaknya leper sedangkan bentuk tumit kita adalah melengkong sedikit. Yang sakit tu bukan tulang tapi muscle keliling tumit. Macam tu lah kot doktor cakap.

Untuk mengurangkan sakit kena pakai alas kasut yang lembut sangat-sangat dan melengkong di tepinya, seperti gambar di bawah ni.


Tapi lapik ni tak ada kat Mekah dan Klinik Tabung Haji pun tak sediakan. Bila balik ke Malaysia saya cari di Farmasi dan jumpa. Harganya lebih kurang RM75.00 sepasang. Lembut sangat-sangat, tapi malangnya tak boleh letak kat kasut saya sebab saya suka pakai kasut yang terbuka di belakang.

Oleh kerana tapak ni tak ada di Mekah, saya cuba cari alternatif lain di Ben Daud dan terjumpa selipar jenama Kito. Teragak-agak juga nak beli sebab tapaknya biru, atasnya merah, very contrast. Tengoklah gambar saya di Arafah dengan selipar tu. Kelakar, kan? Kawan saya Yati awal-awal lagi dah komen bila saya upload gambar tu kat picasa. Tapi bila kenangkan tak tahan dengan sakit kaki ni, beli lah juga. Lepas tawaf haji, selipar tu hilang. Saya beli satu lagi kat Ben Daud. alhamdulillah kali ni warna hitam. Sampai sekarang dah setahun ada lagi kat rumah. Mak saya pun masih pakai lagi selipar tu.

Saya ternampak kasut crocs masa berjalan-jalan di Megamall. Memang sesuai sangat dengan penyakit saya sebab tapaknya melengkung di tepi. Teringin nak beli, tapi mahal giler. Tak lama kemudian saya ternampak design yang hampir sama ngan crocs, tapi brand Asadi macam di bawah ni. Haganya cuma RM17.00 je. Sekarang saya terus beli selipar ni dan pakai kemana saja saya pergi. Kalau pakai yang lain, alamat menderita kaki saya. Gambar kasut di bawah ni ialah kasut spare, in case yang saya tengah pakai tu botak tapaknya. Oh ya, tapaknya cuma tahan 6 bulan je.

03 November 2009

Dua rakyat Malaysia terbunuh dalam kemalangan di Madinah

Daripada MARZUKI YUSOFF

MEKAH 2 Nov. - Dua rakyat Malaysia terbunuh apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Yutma, kira-kira 70 kilometer dari Madinah, malam semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah Basir Hassan, 35, dan Shariff Ismail, 57, pekerja Syarikat Aramal Services. Seorang lagi rakyat Malaysia, Zulazil Yasin, 36, cedera parah di kepala dan kini dirawat di Hospital King Fahad, Madinah.

Pusat Operasi Tabung Haji di Mekah dalam kenyataannya malam ini berkata, kenderaan jenis GMC yang dinaiki mangsa dan dipandu oleh pemandu warga Indonesia dari syarikat pengangkutan, Alfa Kargo ketika kejadian dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah.

Bagaimanapun, Tabung Haji belum mendapat maklumat sama ada kenderaan itu terbabas atau bertembung dengan kenderaan lain.

''Pemandu GMC berkenaan telah ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut berhubung nahas itu dan pegawai perubatan Tabung Haji di Madinah telah membuat pengecaman mangsa di Hospital Miqat dan Hospital King Fahad.

''Anak Allahyarham Shariff juga telah membuat pengecaman jenazah bapanya, manakala jenazah Basir oleh jirannya," katanya.

Ketiga-tiga rakyat Malaysia itu menggunakan visa kerja dari rakan niaga syarikat tersebut di negara ini iaitu Alfa Cargo.

Alfa Cargo adalah sebuah syarikat di Arab Saudi yang dilantik oleh Tabung Haji untuk menguruskan bagasi para jemaah haji dari Malaysia.

Pusat Operasi Tabung Haji menambah, anak Allahyarham Shariff telah bersetuju menandatangani borang kebenaran pengebumian bapanya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Salleh Abd. Mubin mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga kedua-dua mangsa dan berharap keluarga mereka dapat menerima nahas itu sebagai takdir.

Beliau berkata, pihak Tabung Haji melalui Pejabat Konsulnya dan Pejabat Operasi Haji di Madinah telah menguruskan pengebumian kedua-dua mangsa di tanah perkuburan al-Baqi' dan sebelum itu, jenazah disembahyangkan di Masjid Nabawi yang terletak bersebelahan perkuburan tersebut. - UTUSAN