13 Januari 2011

Apa yang kamu suka tak semestinya akan menyukakan

Assalamualaikum

Saya tertarik dengan tazkirah pagi tadi di radio IKIM. Penceramah mengungkapkan kata2 berkenaan. Apa yang kamu suka tak semestinya akan menyukakan hati kamu selama-lamanya. Teringat ayat Allah untuk kita, "boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." Surah. Al Baqarah:216.

Penceramah menceritakan kisah bagaimana takutnya orang Eskimo kepada serigala. Bila ada ancaman serigala, pada malamnya orang eskimo akan merendam bilah-bilah pisau yang tajam dalam darah - mungkin darah ayam contohnya. Esoknya pisau itu akan diletakkan didalam hutan tempat yang disyaki ada serigala.

Serigala adalah binatang yang mempunyai deria bau yang kuat. Apabila terbau darah, serigala akan mecarinya seterusnya menjilat pisau-pisau itu. Sedapnya menjilat darah hingga mereka terlupa bahawa ia adalah pada pisau yang tajam. Serigala tahu bahawa pisau adalah tajam, tapi oleh kerana darah yang sedap mereka terlalai hinggalah bila darah sudah terlalu banyak keluar dan tidak dapat dikawal lagi barulah mereka terasa perit. Nasi sudah mejadi bubur, lidah mereka terhiris dengan amat dahsya sekali. Kerana barang yang sedap, ia membunuh mereka.

Dalam hidup ini terlalu banyak perkara yang meyeronokkan, tanpa kita sedari bahawa ianya sebenarnya boleh merosakkan kita. Tanyalah penagih dadah, tidakkah mereka tahu dadah itu merosakkan, tapi kerana tarikan sedap dan seronok yang ada pada dadah, mereka abaikan larangan itu sebab pastilah pada awalnya ianya sangat nikmat.

Tanyalah perokok, tidakkah mereka tahu bahawa merokok boleh menyebabkan kanser, tapi kerana boleh dapat ramai kawan jika merokok atau sedutan asap itu amat menyeronokkan, mereka teruskan merokok.

Tanyalah pada gadis yang melahirkan anak luar nikah, tidakkah mereka tahu zina itu haram? Tapi kerana perasaan bahagia bila dicintai, dipuja, digilai, mereka membiarkan diri terjerumus ke kancah hina.

Ingat surat dari Allah untuk kita "boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." Maka, jom kita ikut cakap Allah saja, kita biarkan nafsu kita menderita di dunia ini, asal jangan kita menderita di akhirat nanti.